Presiden Anak Selangor Fan Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid, menggesa Selangor mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan sebab pengendali pasukan itu, Nidzam Jamil, meletakkan jawatan secara mengejut.

Menurut Mohd Faizal, penyokong bimbang peletakan jawatan Nidzam Jamil akan menjejaskan momentum pasukan dalam mengharungi saingan Liga Super dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

"Memang kami penyokong Selangor agak terkejut dengan apa yang terjadi kerana situasi Selangor ketika ini berada pada momentum baik di kedudukan kedua Liga Super dan pendahulu Kumpulan H di ACL2.

"Takkan sebab kalah kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) baru-baru ini maka desakan timbul dan dibiarkan Nidzam Jamil letak jawatan?

"Selangor perlu membuat kenyataan mengenai perkara ini dan kami nak tahu sebab apa beliau letak jawatan," katanya kepada Sukan Sinar.

Semalam, Nidzam membuat keputusan untuk meletakkan jawatan secara serta-merta dan tindakan itu hadir tiga hari selepas kekalahan kepada JDT dalam aksi Liga Super.

Di bawah bimbingan pengendali berusia 44 tahun itu, Selangor ketika ini berada di kedudukan kedua Liga Super dengan lapan kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan.

Selain itu, Selangor juga cemerlang di bawah Nidzam di ACL 2 apabila mendahului Kumpulan H dengan tujuh mata.

Kredit--Sinar Harian