Adik kepada pelumba berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom, iaitu Ridwan Sahrom, menggesa netizen negara agar berhenti menyerang media sosial pelumba Jepun, Shinji Nakano.

Ini selepas pelumba itu terlibat dengan kemalangan bersama Shah Firdaus dalam final acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024 di Velodrom Nasional Perancis hari ini.

Dalam satu kiriman media sosial, dia berkata: "Kepada semua peminat sukan Malaysia, tolong jangan serang negara lain berkaitan kemalangan dalam final keirin Sukan Olimpik melibatkan Shah dan pelumba Jepun.

"Dalam perlumbaan keirin, segalanya boleh berlaku, kita tidak boleh menyalahkan atau menghakimi apa yang berlaku, sama ada ia satu kemalangan atau tidak.

"Tolong kekal tenang dan tidak menyerang/komen yang buruk di media sosial pelumba Jepun itu," katanya.