Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria, meluahkan keterujaan untuk menabur bakti dalam pergerakan Olimpik di peringkat benua selepas dilantik menduduki Lembaga Eksekutif Majlis Olimpik Asia (OCA).

Ini seleas Norza dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sukan OCA bagi penggal 2023-2027.

Pelantikan itu dibuat oleh Presiden OCA yang baru dipilih, Sheikh Talal Fahad Al-Sabah.

“Saya tidak sabar untuk berkhidmat dengan pergerakan Olimpik di peringkat benua," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sebelum pelantikan itu, Norza adalah ahli Jawatankuasa Perhubungan Antarabangsa OCA bagi penggal 2019-2023.

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Sheikh Talal atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk berada dalam barisannya bagi mempromosikan pergerakan Olimpik di Asia ke tahap yang lebih tinggi,” ujarnya lagi.

Kredit: Sinar Harian