Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria, mengumumkan bahawa dia akan melepaskan jawatan itu selepas tamat Sukan Olimpik Paris 2024.

Ia demi memberikan fokus sepenuhnya terhadap tugas sebagai presiden Badminton Asia dan ahli jawatankusa Majlis Olimpik Asia.

Sebagai rekod, Norza menerajui BAM selama enam tahun sejak 2017.

Selain itu, dia turut memaklumkan akan melepaskan jawatan sebagai presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selepas Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

"Saya akan melepaskan jawatan saya sebaik tamatnya temasya di Paris," katanya dalam sidang media seperti yang dilaporkan Astro Arena.

"Bagi sebuah organisasi yang baik, kita memerlukan perancangan yang berterusan, jadi kami akan mencari seorang penerus menjelang Sukan Olimpik Paris dan ia akan membenarkan saya untuk lebih fokus dalam tugasan antarabangsa dan kepentingan peribadi yang lain.

"Kami akan mencari seorang individu yang tepat untuk mengetuai BAM selepas temasya di Paris," katanya.