Daripada khabar angin yang bertiup kononya pusingan perlumbaan MotoGP di Litar Mandalika bakal ditunda, sebaliknya litar yang memiliki jarak 4.3 kilometer itu dinaik taraf untuk memberikan wajah yang lebih memukau dalam perlumbaan yang bakal berlangsung pada 27-29 September ini.

Malah pihak pengurusan tertinggi litar itu sudahpun melakukan penambahbaikan terhadap permukaan litar tersebut selain mengecat semula beberapa fasiliti yang sedia ada agar kelihatan lebih kemas dan baru.

Litar yang terletak di Lombok Tengah, Nusa Tenggara Barat (NTB) itu bakal menyaksikan pusingan perlumbaan MotoGP bagi pusingan ke-15, Pertamina Grand Prix Indonesia di mana ia menjadi medan penting buat kelompok pendahulu dalam carta kedudukan keseluruhan pelumba.

Kedudukan rapat terutamanya membabitkan empat kelompok teratas memungkinkan pusingan perlumbaan di litar tersebut bakal menyaksikan perubahan susunan carta kedudukan.

Jorge Martin ketika ini masih lagi mendahului selepas mengumpul 312 mata keseluruhan, namun kelebihan itu hanya dibezakan 7 mata daripada pencabar terdekatnya Francesco Bagnaia di posisi kedua.

Begitu juga dengan Marc Marquez yang kini nampak lebih yakin dengan jenteranya Ducatinya selepas menjuarai dua pusingan perlumbaan dengan menduduki tangga ketiga dengan 259 mata.

Ia menyaksikan bekas pelumba pasukan Honda itu memiliki kelebihan 9 mata berbanding Enea Bastianini yang kini menghuni di tangga ke-4 kedudukan keseluruhan pelumba dengan 250 mata.

Justeru, pentas Mandalika mungkin akan menyajikan saingan perlumbaan paling menarik dengan henjutan pecutan yang berbeza berbanding sebelum ini dengan kesemua kelompok pelumba teratas yang mahu merampas dan memburu kedudukan takhta pendahulu.