Litar Sachsenring nampaknya bukanlah litar yang bertuah buat Jorge Martin sekalipun berjaya memimpin sebahagian besar pusingan perlumbaan dalam aksi saingan GP Jerman semalam.

Bukan itu sahaja, bahkan penunggang pasukan Prima Pramac Racing itu terpaksa pula melepaskan kedudukanya selaku pendahulu kejuaraan selepas terjatuh di saat akhir ketika perlumbaan berbaki dua pusingan untuk ditamatkan.

Insiden tersebut telah memberikan ruang yang mencukupi buat pencabar beliau Francesco Bagnaia yang mengekori rapat di belakang beliau sepanjang perlumbaan untuk terlebih dahulu mencecah garisan penamat untuk muncul selaku juara pada pusingan perlumbaan kali ini.

Marc Marquez yang bakal menjadi rakan sepasukan Bagnaia musim depan pula selesa menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan disusuli oleh adiknya Alex Marquez ketiga.

Dengan kemenangan tersebut Bagnaia berjaya merampas kedudukan pendahulu kejuaraan keseluruhan ketika ini dengan mengumpul 222 mata, 10 mata di depan Martin dengan 212 mata.

Marc Marquez pula berjaya mengumpulkan 166 mata untuk menduduki takhta ketiga carta pendahulu ketika ini