Ruben Amorim terlibat dengan satu perbualan canggung bersama wartawan Sky Sports, Gary Cotterill, sewaktu sidang media menjelang perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di antara Sporting CP dan Manchester City awal pagi esok.

Ini selepas ketua jurulatih Sporting itu diminta menjawab soalan menggunakan Bahasa Inggeris pada ketika dia tidak mahu melakukannya.

Pengendali berusia 39 tahun itu dinamakan sebagai pengurus baru Manchester United pada Jumaat lalu dan akan secara rasmi bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan pada Isnin depan.

Bagaimanapun, sebelum dia ke Old Trafford, Amorim perlu mengendalikan aksi kedua terakhirnya bersama kelab itu.

Sewaktu sidang media itu, Amorim kelihatan tenang menjawab segala soalan dengan bahasa ibundanya, iaitu Bahasa Portugis.

Apabila dilontarkan soalan dalam Bahasa Inggeris, pegawai medianya akan menyelip dan berkata kepada wartawan Inggeris bahawa mereka akan mendapat jawapan dalam Bahasa Inggeris sebaik dia memulakan tugas di Manchester United kelak.

Cotterill kemudian bersungguh-sungguh mahu Amorim mejawab dalam Bahasa Inggeris tetapi pengendali itu kekal dengan pendiriannya.

"Maaf, saya tidak boleh menggunakan Bahasa Inggeris ketika ini.

"Maaf... Mereka akan merindui saya di Portugal, jadi saya perlu bertutur dalam Bahasa Portugis," katanya.