Kapten Sporting CP, Morten Hjulmand, menganggap rakan sepasukannya, Viktor Gyokeres, sebagai penyerang yang lebih hebat berbanding Erling Haaland menjelang perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Manchester City di Lisbon awal pagi esok.

Sporting -- yang akan kehilangan ketua jurulatih, Ruben Amorim, untuk ke Manchester United minggu depan -- akan berdepan City bagi aksi keempat UCL.

Perlawanan itu juga akan menjadi pertembungan dua penyerang terbaik Scandinavia, iaitu pemain kebangsaan Sweden, Gyokeres, dan bintang besar Norway, Haaland.

Gyokeres mencipta sensasi sejak meninggalkan Coventry City untuk menyertai Sporting musim lalu, di mana dia menjaringkan 34 gol dalam liga utama Portugal tahun ini, jauh meninggalkan pencabar terdekan, Galeno (Porto) dengan 16 jaringan.

Pada ketika Gyokeres bersedia untuk bertembung dengan Haaland, yang menjaringkan 11 gol dalam 10 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, dia mendapat galakan terbesar daripada ketua pasukannya.

Ditanya penyerang mana yang lebih hebat dalam sidang media praperlawanan itu, Hjulmand berkata: "Gyokeres, kerana dia bermain untuk Sporting."

Gyokeres sudah pun menjaringkan 16 gol buat Sporting dalam saingan liga musim ini, rekod tertinggi dalam 10 liga utama Eropah dan mendahului penyerang Barcelona, Robert Lewandowski (14 gol).

Haaland pula terikat di tangga ketiga dengan bintang Bayern Munich, Harry Kane, dan penyerang Atalanta, Mateo Retegui.