Selangor gagal mempertahankan kelebihan apabila terpaksa menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 1-1 dengan PDRM dalam aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Skuad kendalian Nidzam Jamil memasuki perlawanan ini dengan momentum cemerlang, memperoleh kemenangan 1-0 ke atas Terengganu dalam aksi domestik selepas meraih kemenangan dengan keputusan sama ke atas Cebu dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) II.

Dan mereka memperoleh permulaan yang diimpikan apabila berjaya mendahului seawal minit ke-15, gerakan cemerlang Quentin Cheng dari sayap kanan berjaya disempurnakan oleh Alvin Fortes.

Tiada jaringan tambahan sehingga kedua-dua pasukan menuju bilik persalinan.

Corak permainan yang sama ditampilkan Selangor dalam separuh masa kedua, bagaimanapun gagal mendapatkan jaringan tambahan.

Ketika perlawanan memasuki masa kecederaan, PDRM berjaya mencari ruang untuk mendapatkan gol penyamaan menerusi Aremu Timothy sekaligus menjejaskan malam Selangor mencari tiga mata penuh.