Awas! Kes tangkapan bekas pemilik Kuantan FA dan Marcerra United berikutan isu tunggakan gaji tampak mengundang bahaya kepada beberapa bekas pemilik kelab yang sudah menghilangkan diri.

Bekas pemilik kelab Melaka United dan Kelantan TRW antara nama yang panas ketika ini apabila dikatakan belum menyelesaikan isu tunggakan gaji melibatkan pemain dan pegawai pasukan masing-masing.

Pemerhati bola sepak negara, Azlan Johar, menegaskan tangkapan berkenaan bukti bahawa pemain serius menuntut keadilan daripada kes tunggakan gaji.

Tiada lagi kompromi, pemain yang diwakili peguam bertindak proaktif bersama-sama Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dalam membela hak masing-masing.

"Pemilik telah memungkiri janji, ini satu titik hitam dalam bola sepak Malaysia.

"Ini satu kejayaan kepada pemain-pemain dan peringatan kepada pemilik kelab supaya berhati-hati, ini satu pengajaran seperti kelab Melaka United dan Kelantan yang telah menghilangkan diri, tidak mahu bersemuka dengan pemain-pemain.

"Pemain telah menunjukkan satu semangat kesukanan yang tinggi, tetap teruskan perjuangan dan memajukan diri dalam perlawanan.





"Dan ia satu tindakan yang tepat kerana membawa ke pengadilan," katanya sebentar tadi.

Terdahulu, Nadi Arena melaporkan bekas pemilik Kuantan FA dan Marcerra United didakwa ingkar perintah mahkamah untuk membayar tunggakan gaji berjumlah RM1.4 juta.

Ia secara tidak langsung menyebabkan individu yang bergelar datuk berusia lingkungan 50 tahun itu digari dan dipenjara, lalu menjadikannya bekas pemilik kelab bola sepak pertama di Malaysia digari dan dipenjara.

“Selama ni pemain risau dan takut untuk tindakan kerana nama mereka akan tercemar. Pasukan lain tidak mahu ambil mereka yang dianggap agresif.

"Tapi ini sebenarnya tindakan yang betul oleh pemain. Rezeki di tangan Allah, pemain telah melakukan perkara yang betul, jadi kenapa dinafikan peluang untuk bermain dengan pasukan lain," katanya lagi.