Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui kurang berpuas hati dengan prestasi dipamerkan pendahulu liga itu ketika menewaskan Kuching City dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat.

Malah Bidoglio juga tidak berselindung mengakui skuad Harimau Selatan yang juara 10 kali berturut-turut tersebut berdepan kesukaran menewaskan The Cats kendalian Aidil Sharin Sahak.

Katanya, pemain yang tidak menunjukkan prestasi pada tahap terbaik dalam perlawanan itu perlu memperbaikinya sebelum berdepan kelab China, Shanghai Shenhua FC dalam saingan Kumpulan A Liga Juara-Juara Asia (ACL) Elite di Stadium Sultan Ibrahim, Selasa ini.

"Sememangnya sejak awal lagi kami mengetahui bahawa berdepan Kuching City akan menjadi satu perlawanan yang sukar. JDT menang akhirnya biarpun mungkin bukan satu persembahan terbaik yang kami harapan daripada perlawanan ini.

"Biarpun begitu sama seperti sebelum ini sering saya nyatakan bahawa dalam setiap perlawanan kami perlu meningkatkan prestasi dan berkembang.

"Mungkin fokus pemain-pemain pada perlawanan penting itu (bertemu Shanghai Shenhua FC), namun pada padangan saya, kita perlu fokus pada semua perlawanan.

"Kami perlu memperbaikinya... Saya tahu apa yang perlu kami perbaiki dalam serangan dan kami perlu kompak ketika bergerak untuk bertahan," katanya selepas perlawanan pada Jumaat.

Penyandang juara JDT sebelum itu dipaksa berhempas pulas ketika menjinakkan Kuching City, 2-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri semalam.-Sinar