Pemain baharu Selangor FC (SFC), Mohammad Abualnadi mengakui teruja dapat menyertai skuad Gergasi Merah bagi mencapai matlamat kelab untuk meraih kejayaan di pentas Asia dan dalam saingan domestik.

Pemain Jordan-Amerika yang akan beraksi sebagai pertahanan dan sayap kiri itu juga bertekad untuk memberikan yang terbaik buat pasukan menerusi sokongan padu para peminat.

"Menjadi sebahagian daripada Selangor FC adalah satu detik yang sangat menggembirakan bagi saya. Sejarah yang penuh cerita dan penyokong yang bersemangat di kelab ini sentiasa memberi inspirasi kepada saya.

"Saya berasa terhormat untuk menjadi sebahagian daripada pasukan ini. Apabila peluang itu datang kepada ejen, saya segera merasakan bahawa ini adalah tempat yang tepat untuk saya.

"Saya bertekad untuk memberikan yang terbaik untuk pasukan. Saya memahami harapan yang datang bersama jersi ini dan bersedia untuk menyokong rakan sepasukan dalam mencapai matlamat kami.

"Saya tidak sabar untuk merasai semangat penyokong kami yang bersemangat dan bertekad untuk membuat mereka bangga ketika kami berusaha untuk mencapai kejayaan musim ini," katanya.

Abualnadi memulakan kerjaya di Akademi Kansas ketika dia berumur 18 tahun dan berada di Amerika selama lima musim bermain dalam Piala Terbuka AS bersama skuad utama Sporting Kansas City, MLS Next Pro dan Kejuaraan USL bersama Sporting Kansas City II.

Dia bermain dalam 11 perlawanan sebagai pemain muda sebelum menerima tawaran untuk terbang ke Jordan bersama Al-Hussein SC.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil meluahkan keyakinannya terhadap penambahan pemain yang bermain di sebelah kiri pasukan.

"Saya percaya bahawa dia akan menjadi aset yang berharga untuk pasukan sebagai pertahanan dan pemain sayap di sebelah kiri.

"Saya juga melihat potensinya untuk menguatkan dinamik barisan pertahanan, terutamanya dalam kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2)," katanya.

Abualnadi juga merupakan pemain kebangsaan Jordan yang telah bermain dengan skuad bawah 23 tahun (B-23) dalam Kejohanan B-23 Persekutuan Bola Sepak Asia Barat (empat penampilan, dua gol), Pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 AFC (tiga penampilan dan satu gol) serta Kejohanan B-23 AFC.

Musim 2024 merupakan batu loncatan bagi pemain berketinggian 185 sentimeter itu apabila beliau menerima panggilan kebangsaan untuk menyertai kem latihan pada bulan Julai.

Pemain berusia 23 tahun itu kemudian membuat penampilan pertamanya bersama skuad utama Jordan menentang Korea Utara dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada 23 Ogos lalu.

Dia juga telah disenaraikan dalam dua perlawanan pusingan ketiga kempen kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Kuwait dan Palestin baru-baru ini.-Sinar