Faktor keselamatan jadi faktor utama Persatuan Bolasepak Bahrain (BFA) meminta supaya perlawanan menentang Indonesia dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 dipindahkan ke lokasi berbeza pada Mac tahun depan.

Perkara tersebut disuarakan menerusi kenyataan rasmi bandan induk tersebut selepas tindakan penyokong Indonesia yang berang dengan keputusan 2-2 ketika bertemu Bahrain 11 Oktober lalu.

Keputusan pengadil Oman, Ahmed Al-Kaf, yang melanjutkan perlawanan melebihi tempoh enam minit masa tambahan mengundang rasa tidak puas hati penyokong skuad Sang Garuda pada ketika itu.


A post shared by Bahrain Football Association (@bahrainfa)



Dalam masa sama, penyokong Indonesia turut meninggalkan komen yang berbaur ancaman kepada Bahrain di samping serangan siber itu memberi kesan negatif kepada platform media sosial persatuan tersebut.

BFA sudah memaklumkan isu itu kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) terhadap jenayah siber yang berunsur ugutan, fitnah serta penghinaan yang dilontarkan oleh penyokong Indonesia.

Oleh hal demikian, BFA juga sedang menghantar rayuan kepada FIFA dan AFC untuk memohon supaya aksi timba balik perlu dilakukan di venue neutral demi keselamatan para pemain Bahrain.