Bekas pengurus Chelsea, Thomas Tuchel, bersetuju untuk memikul tanggungjawab sebagai pengurus baru England, sekali gus muncul individu ketiga bukan berdarah British yang memikul tanggungjawab itu selepas Sven-Goran Eriksson (2001-2006) dan Fabio Capello (2007 -2012).

Ketika ini, England yang sedang bersaing dalam Liga Negara-Negara Eropah (UNL) B, beraksi tanpa pengurus tetap sejak Gareth Southgate meninggalkan pasukan itu selepas kekalahan dalam final Euro kepada Sepanyol.

Lee Carsley, yang dipilih FA England untuk tugas pengurus sementara, bakal menyerahkan kuasa penuh kepada Tuchel selepas dua aksi terakhir UNL menentang Greece dan Republik Ireland bulan depan.

Tuchel, yang dijangka bakal diperkenalkan secara rasmi pada Khamis ini di Stadium Wembley, mempunyai misi cukup jelas, iaitu mahu memastikan England layak ke Piala Dunia 2026, yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Berusia 51 tahun, Tuchel bersama Chelsea mencipta kejayaan yang membanggakan, iaitu Juara Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Juara Piala Dunia Kelab FIFA dan Piala Super Eropah.

Malah, Tuchel turut mencipta beberapa lagi kejayaan seperti Juara Bundesliga bersama Bayern Munich dan juara dua kali Ligue 1 bersama PSG.