Kecederaan John Stones telah membuka peluang buat pengurus England, Gareth Southgate, untuk meneroka pilihan di pertahanan tengahnya dalam kelayakan Euro 2024 menentang Malta dan Macedonia Utara.

Pertahanan City itu dipaksa keluar dalam kemenangan Liga Juara-Juara (UCL) menentang Young Boys semalam sambil pengurus kelab, Pep Guardiola, mengakui ia satu tamparan hebat untuk percaturannya.

Stones hanya kembali beraksi pada bulan lalu selepas berehat selama dua bulan akibat masalah hamstring dan pinggul, namun Southgate tidak teragak-agak untuk meletakkan dalam kesebelasan utama demi melaksanakan misi penting ke atas Itali.

Begitupun, memandangkan mereka sudah layak untuk kejohanan musim panas di Jerman maka Southgate yang akan menamakan skuadnya pada Khamis ini bercadang menguji beberapa pemain lain.

Ketua pasukan Brighton, Lewis Dunk, dan Fikayo Tomori daripada AC Milan bergandingan dalam kemenangan aksi persahabatan ke atas Australia bulan lalu tetapi pemain Crystal Palace, Marc Guehi, menjadi pilihan Southgate bagi menggantikan Stones pada 27 minit terakhir ketika berdepan Itali.

Kecederaan yang membelenggu Ben Chilwell dan Luke Shaw bermakna Kieran Trippier akan mengisi posisi bek kiri untuk menghadapi skuad Azzuri tetapi tonggak Chelsea, Levi Colwill, yang bermula menentang ketika The Three Lions berdepan Australia selain mungkin seorang lagi pemain yang mungkin diuji.




Reece James juga antara sosok yang mungkin dipanggil semula setelah kembali daripada kecederaan manakala rakan sepasukannya di Chelsea, Raheem Sterling, berharap dua gol dan beberapa prestasi memberangsangkannya dalam lima perlawanan terakhir akan membolehkannya dipanggil buat kali pertama sejak Piala Dunia 2022.

Peluang itu boleh meningkat bergantung kepada tahap kecederaan buku lali yang dialami oleh James Maddison ketika Tottenham ditumpaskan Chelsea, kelmarin, dan masalah hamstring meminggirkan Callum Wilson dalam kekalahan Newcastle menentang Borussia Dortmund dalam pertembungan Liga Juara-Juara.