Kejohanan Menembak Kebangsaan penting buat atlet negara, Johnathan Wong, untuk merasai suasana sebenar Sukan SEA bagi mempersiapkan mental dan fizikal dengan lebih baik.

Kejohanan lima hari itu yang bermula hari ini menjadi saingan terakhir barisan penembak sebelum temasya dwitahunan itu bulan depan.

Berlangsung di Lapang Sasar, Subang yang turut menjadi venue Sukan SEA, Johnathan menganggap ia adalah masa terbaik untuknya membiasakan diri.

Tiada sebarang sasaran, atlet yang pernah beraksi dalam Sukan Olimpik Rio itu hanya mahu mempraktikkan teknik yang dipelajari di Korea selatan, awal bulan ini.

"Bukan saya tidak mahu memberi tekanan. Ia tetap menjadi pertandingan yang penting sebab ini adalah pertandingan terakhir sebelum Sukan SEA.

"Jadi, saya akan gunakan peluang itu untuk membayangkan suasana sebenar dalam Sukan SEA," katanya

Sementara itu, atlet rifle negara, Ezuan Nasir Khan, pula mendapat tonik baru apabila diberikan peralatan baju menembak dari Korea Selatan.

"Di sana, saya kami pergi ke kilangnya sendiri untuk mengukur mengikut saiz badan.

"Selepas saya memakai baju itu, persembahan saya ada menunjukkan peningkatan. Persembahan saya lagi bagus," katanya.