Pertama kali dipanggil untuk saingan kelayakan Piala Dunia 2026 / Piala Asia 2027

BINTANG meningkat naik Penang FC, Muhammad Adib Abdul Ra'op berasa gemuruh untuk menjejak kaki ke kem latihan kebangsaan.

Menyedari bahawa dia akan berada bersama-sama pemain senior membuatkan Adib mungkin sedikit kecut hati tetapi ia tidak sama sekali melunturkan semangatnya untuk menggalas tugasan bersama skuad negara.

"Pertama kali dengar nama saya dipanggil untuk skuad kebangsaan rasa gembira," kata Adib selepas perlawanan Liga Super menentang PDRM pada Sabtu. "Tetapi selepas itu nak pergi dengan ada nama-nama besar dalam skuad kebangsaan buatkan saya agak gemuruh.

'Banyak lagi saya kena belajar, kena perbetulkan dana saya mahu belajar dengan Corbin (Ong) dan Daniel Ting dalam bersama-sama skuad kebangsaan nanti."

Adib pertama kali dipanggil ke kem latihan kebangsaan bersama-sama dengan 26 pemain lain bagi menghadapi perlawanan kelima dan keenam Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz di Bishkek pada 6 Jun 2024 dan menentang Chinese Taipei di Bukit Jalil pada 11 Jun 2024.

Ditanya mengenai latihan apabila dia mampu untuk menyesuaikan diri dalam corak latihan berintensiti tinggi oleh jurulatih Kim Pang Gon, Adib berkata ia bukan satu masalah untuk dirinya.

"Saya tak pernah tahu (corak latihan Kim Pang Gon), tapi bila saya tanya kepada senior-senior seperti Syamer (Kutty Abba) Dan Sikh Izhan (Sikh Azman), intensiti tinggi... nak tak nak saya kena ikut.... kena cepat "adapt' benda tu."

Skuad kebangsaan akan memulakan kem latihan pusat bermula Isnin ini.