Juara bertahan wanita Kejohanan Maybank Jelajah LPGA kelahiran Perancis, Celine Boutier, bertekad menebus hampa selepas Kejohanan BMW Wanita di Paju, Korea Selatan, sekadar menduduki tempat ketiga, tiga hari lalu.

Untuk musim ini, Boutier masih belum mencetak sebarang kejuaraan, lantas Kejohanan Maybank 2024 menjadi medan terbaik untuknya memburu kedudukan utama, dan dalam masa sama mempertahankan kejuaraan tahun lalu.

"Saya berharap untuk berikan aksi terbaik memandangkan saya mempunyai kenangan baik selepas menang tahun lalu. Jadi saya berharap dapat meneruskan momentum itu pada tahun ini juga.

"Saya telah berikan diri saya banyak peluang tetapi tidak berpeluang untuk menoktahkan lagi dengan keputusan yang baik. Jadi, saya berharap dapat lakukan yang terbaik hujung minggu ini," ujarnya.

Boutier -- yang baru sahaja tiba di Malaysia semalam -- memberi gambaran keadaan cuaca lebih baik berbanding tahun lalu dan aspek ini umpama petanda yang cukup baik untuknya mencari kejuaraan sulung Jelajah LPGA tahun ini.

"Cuaca seperti sebelum ini, agak panas. Tetapi tahun ini kurang guruh. Minggu ini cuaca lebih cerah dan kita akan lihat nanti." katanya.