​Skuad gimrama negara mengutip pingat emas pertama menerusi kategori berpasukan wanita selepas mengatasi cabaran Thailand dan Singapura dalam aksi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Malaysia yang diwakili oleh Amy Kwan, Izzah Amzan dan Koi Sie Yan mengutip 153.10 mata, menewaskan Manatsanan Chaiteerapattarapong, Panjarat Prawatyotin serta Pornchanit Junthabud dari Thailand yang mengutip 122.55 mata.

"Ya, kami hanya memberikan yang terbaik. Kami telah berlatih dengan gigih dan berjaya mempamerkan persembahan yang cemerlang," ujar Amy.

"Kemenangan yang sangat bermakna buat saya kerana ini merupakan penampilan yang pertama dalam Sukan SEA," tambah Izzah.

Bagi Sie Yan, dia tanpa berselindung menjelaskan amat lega kerana berjaya mengatasi tekanan apabila beraksi peserta selaku tuan rumah.

"Kami menyedari bahawa terdapat tekanan beraksi sebagai tuan rumah. Tetapi kami berjaya menanganinya. Kami juga berjaya menangani masalah kecederaan dan kesihatan, sekaligus memenangi pingat emas," katanya.

Pingat gangsa menjadi milik Singapura yang diwakili oleh Edlyn Ho, Tong Kah Mun dan Avryl Tan Ying setelah mengutip 116.30 mata.



Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.