Penyerang skuad kebangsaan, Faisal Halim, mengucapkan terima kasih kepada individu yang telah banyak membantu pasukan kebangsaan untuk mencapai ke tahap ini.

Skuad kendalian Kim Pan-gon melewati dua kemenangan berturut-turut dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 apabila menang ke atas Kyrgyzstan 4-3 di Stadium Nasional Bukit Jalil dan mengatasi Chinese Taipei 1-0 semalam di tempat lawan.

Kemenangan itu meletakkan Malaysia mendahului Kumpulan D susulan kekalahan Oman kepada Kyrgyzstan dalam satu lagi perlawanan.

Ternyata, kualiti yang diterapkan pasukan kebangsaan melewati satu perkembangan yang luar biasa dan ia terbukti menerusi kedudukan ranking FIFA yang semakin meningkat hari demi hari.

Selepas tamat perlawanan, Faisal yang ditemui Flash Sukan, berkongsi pandangannya terhadap perjalanan pasukan kebangsaan untuk mencapai ke tahap ini.

"Syukur, kami berjaya mendapatkan enam mata daripada dua perlawanan. Bagaimanapun, perjalanan masih panjang. Kami perlu terus bekerja keras untuk memperbaiki kelemahan sebelum menghadapi Piala Asia awal tahun hadapan," kata Faisal Halim.

"Sudah tentu jika tumpuan terhadap barisan pemain tempatan mula menilai tinggi barisan pemain Malaysia, bagaimanapun kami perlu kekal fokus kerana kejayaan masih lagi belum dicapai.

"Terdapat banyak aspek yang membawa perubahan dalam bola sepak negara. Pasukan negara tidak akan mencapai tahap ini tanpa penglibatan Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang membentuk pasukan JDT sekaligus terus mengubah landskap bola sepak tempatan.

"Apa yang telah dibawa masuk oleh baginda ke dalam bola sepak negara adalah kualiti yang tinggi sekaligus meningkatkan mutu permainan dan kualiti pemain itu sendiri.

"Kita perlu berterima kasih kepada TMJ kerana tanpa baginda, pasukan kebangsaan tidak akan mencapai tahap sekarang.

"Namun saya sebagai pemain kebangsaan, mengharapkan lebih ramai lagi individu seperti TMJ yang mampu membantu pasukan kelab di Malaysia sekaligus akan meningkatkan lagi mutu pasukan Malaysia.

"Seperti TMJ lakukan bersama JDT, saya bersama Selangor ditunjangi pimpinan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang turut membawa perubahan demi perubahan buat pasukan.

"Individu-individu sedikit sebanyak akan membantu bagi meningkatkan lagi kualiti pasukan kebangsaan.