Emas Anuar Sepak Takraw League (STL) bersambung selepas seminggu berehat dengan saingan minggu ini tertumpu kepada Champions Cup.

Lapan pasukan iaitu dua daripada Divisyen 1 serta enam pasukan teratas Liga Premier bakal bertarung untuk merampas gelaran juara daripada Kuala Lumpur Thunder.

Perlawanan tumpuan hari pertama Champions Cup hari ini melibatkan pertembungan di antara juara Liga Premier, Perak Bison, melawan naib juara Divisyen 1, Terengganu Turtles.

Perak yang mempertaruhkan Jakkrit Thinbangbon selaku tekong, Aidil Aiman (apit kanan), dan Noraizat Nordin selaku perejam menguji kekuatan Zulkfili Razak, Muqlis Borhan dan Sutthikiart Panseankaew.





Walaupun Perak memiliki reputasi lebih gah tetapi di atas gelanggang di Iskandar Puteri itu semuanya berbeza dengan kemampuan semasa menjadi taruhan dan itulah yang dibuktikan Terengganu menerusi kemenangan 21-18.

Terengganu terus mempamerkan kualiti serupa dalam set kedua walaupun ditentang hebat Perak hingga kedudukan terikat 11-11.

Namun, kesilapan yang dilakukan trio Perak membawa padah apabila Terengganu tidak melepaskan peluang untuk menambah mata bagi menamatkan perlawanan 21-13.





Sementara itu,. Johor Tigris memerlukan dua set untuk mengetepikan ATM Guardians.