Menjelang Emas Anuar Sepaktakraw League (STL) Champions Cup 2024, terdapat penambahbaikan dalam sistem challenge yang ditetapkan kepada tiga jenis buat setiap pasukan yang mahu memohon.

Sistem itu terbahagi kepada tiga jenis melingkupi servis tekong, bola dalam atau keluar serta hadangan.

Namun, menurut Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan, ia bukanlah perkara baru sebaliknya merupakan peraturan asas di peringkat antarabangsa.




"Apabila ada penglibatan pasukan daripada luar negara, pihak penganjur harus mengikuti peraturan yang ditetapkan menerusi perbincangan bersama Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF)," katanya kepada Nadi Arena.

"Kami menyokong penuh keupayaan kamera yang digunakan oleh pihak Astro. Sistem yang dimiliki oleh mereka berjalan dengan baik.

"Kami mahu mengimplementasi peraturan yang digunakan oleh dunia kepada arena sepak takraw tempatan," ulas Setiausaha Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF), Datuk Abdul Halim Kader.