Satu perkara epik terjadi ketika perlawanan suku akhir Grand Prix (GP) Penang Emas Anuar Sepaktakraw League (STL) apabila servis tekong Terengganu Turtles, Zulkifli Razak, menembusi jaring sehingga menyebabkan permainan terhenti seketika.

Tumpuan teralih apabila pemain yang mesra dipanggil Sobey itu melakukan servis kuda ketika Terengganu Turtles cuba mengukuhkan kedudukan mereka dalam pertembungan di SPICE ARENA itu.



Ekoran insiden tersebut, aksi terpaksa dihentikan seketika untuk memberi ruang pihak penganjur menukar jaring baru.

Begitupun, Terengganu tidak berdepan masalah untuk menempah slot mereka ke separuh akhir selepas menewaskan Johor Tigris yang bergelut untuk mempersembahkan aksi terbaik mereka untuk tewas 15-8, 15-12.

Terengganu bakal berdepan cabaran Perak Bison dalam aksi separuh akhir pertama hari ini.