Jurulatih beregu negara, Tan Bin Shen, mengingatkan pemain negara bahawa ranking dunia dan prestasi semasa adalah dua perkara berbeza.

Jika penilaian dibuat bersandarkan ranking dunia, sudah pasti Aaron Chia-Soh Wooi Yik kekal di kedudukan terbaik berbanding beregu lelaki negara yang lain.

Namun, jika melihat kepada peningkatan ketara dalam usaha merebut tempat dalam Pusingan Akhir Jelajah Dunia di Hangzhou, China, Goh Sze Gei-Nur Izzuddin Rumsani merupakan pasangan terbaik negara ketika ini.

Justeru, Bin Shen tampil menjelaskan bahawa beregu profesional itu merupakan gandingan terbaik negara ketika ini -- merangkumi keseluruhan beregu lelaki negara.

"Prestasi semasa Din-Fei memang sangat bagus (sementara) Aaron-Wooi Yik agak perlahan selepas Sukan Olimpik berikutan cuti dan sebagainya.

"Saya sempat berpesan kepada Aaron-Wooi Yik (bahawa adalah) tidak mengapa untuk sedikit santai selepas Sukan Olimpik tapi kena ada tempoh hadnya.

"Lagipun Wooi Yik ditimpa kecederaan, jadi kami kena runding semula hala tuju seterusnya. Mereka perlu tunjukkan kemampuan terlebih dahulu, ia tidak seperti yang diharapkan.

"Sekurang-kurangnya kami perlu bersatu hati, nak menang apabila masuk bertanding dan cara permainan pun biarlah nampak bagus," katanya ditemu bual wakil Nadi Arena hari ini.

Sze Fei-Nur Izzuddin kini menghuni tangga ketiga dengan 77,400 mata dan dianggap sudah hampir pasti layak beraksi di Hangzhou pada 11 hingga 15 Disember ini.