Ukraine mengugut untuk memboikot Sukan Olimpik Paris 2024 seandainya Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memilih untuk membenarkan atlet Russia dan Belarus bertanding dalam temasya itu.

Kedua-dua negara itu ketika ini masih digantung berikutan perintah IOC untuk setiap persatuan meminggirkan mereka gara-gara pencerobohan ke atas Ukraine tahun lalu.

IOC kelmarin mengesahkan mengenai hasrat mereka untuk mengekalkan sekatan terhadap pegawai dan kerajaan dua negara berkenaan dalam temasya itu tahun depan tetapi sedia meneroka peluang untuk membenarkan atlet daripada dua negara itu bersaing di bawah panji berkecuali.

Keinginan itu, bagaimanapun, mendapat kritikan hanya beberapa minggu selepas presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menggesa agar atlet dari dua negara berkenaan kekal disekat.

Menteri Sukan Ukraine dalam satu kiriman media sosial kembali menegaskan mengenai pendirian negaranya mengenai isu berkenaan.

"Kedudukan kami tidak berubah," kata Vadym Guttsait.

"Selagi masih ada peperangan di Ukraine, atlet Russia dan Belarus tidak sepatutnya bertanding dalam mana-mana pertandingan antarabangsa... Jika itu tidak berlaku, saya tidak menafikan terhadap kemungkinan bahawa kami akan memboikot dan tidak akan menyertai Sukan Olimpik."