Perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, kelihatan sempat cergas menjelang saingan Piala Thomas bermula hujung bulan ini, yang akan menjadi kejohanan pertamanya selepas dua bulan sejak kali terakhir turun beraksi dalam Kejohanan Berpasukan Asia lalu.

Tze Yong terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada peluangnya untuk ke Sukan Olimpik Paris pada Julai depan memandangkan masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan belakang tetapi pengarah kejurulatihan skuad negara, Rexy Mainaky, memberikan bayangan bahawa pemain kelahiran Johor itu mungkin akan kembali beraksi tidak lama lagi.

"Pergerakan Tze Yong kini jauh lebih baik tetapi dia masih berhati-hati dengan pergerakan yang ekstrem.

"Tetapi dia kini sudah boleh melakukan smash dan kawalan gelanggangnya juga sudah semakin positif.

"Kami positif bahawa dia akan mengambil bahagian dalam Piala Thomas," kata Rexy.