Beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Haikal Nazri, kandas dalam suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Thailand BWF selepas tewas kepada gandingan Taiwan, Lu Ming Che-Tang Kei Wei, di Bangkok sebentar tadi.

Hon Jian dan Haikal menguasai pertengahan set pertama tetapi mereka membenarkan lawan memperoleh lima mata berturut-turut untuk ketinggalan 17-20 sebelum tewas 18-21.

Bagaimanapun, mereka tidak mengulangi kesilapan itu dalam set kedua, di mana Hon Jian dan Haikal satu ketika mendahului 15-7 sebelum mencatatkan kemenangan 21-15 untuk mengheret pemainan ke set penentuan.

Namun, masalah sama kembali menghantui Hon Jian dan Haikal dalam set ketiga.

Mereka yang satu ketika jauh mendahului 13-6 membenarkan lawan bangkit mengikat kedudukan 17-17 sebelum tewas 18-21 selepas secara keseluruhan bertarung selama 66 minit.