Satu pertembungan sengit disajikan di Dewan Bola Tampar MBSA, Shah Alam, menjadi penutup saingan akhir kategori wanita Sukan Malaysia (Sukma) MSN.

Di atas kertas, pertembungan Johor dan Selangor hari ini sememangnya menjanjikan debaran, aksi kompetitif serta drama yang tersendiri.

Johor yang dibarisi enam pemain skuad negara yang menggalas tugas dalam Sukan SEA Hanoi yang lalu bermula garang menerusi deretan pukulan spike sebelum merekodkan kemenangan dalam dua set awal, 25-18, 25-18.

Enggan maruah terus tercalar, Selangor mendominasi dalam dua set berikutnya untuk mengikat kedudukan.

Namun, hasrat mereka untuk melengkapkan kebangkitan disekat pada saat akhir untuk Johor meraikan kejayaan meraih pingat emas sulung dalam sejarah penyertaan mereka.

"Pemain turun untuk menikmati perlawanan ini.




"Mereka sentiasa berlatih dan melakukannya dengan baik sebab itu kami memenangi emas.

"Tambahan pula ini penyertaan terakhir Sukma bagi sesetengah pemain.

"Saya harap mereka mampu mengorak langkah lebih jauh," kata ketua jurulatih Johor, Lock Kuan Huat.

Sementara itu, ketua jurulatih Selangor, Muhammad Hussainy Naim, percaya mereka mampu menebus kekecewaan itu dan langkah berkenaan perlu diperkemaskan lagi.

"Tiada rezeki buat kami.

"Perlawanan terbaik yang kami mainkan tetapi tuah tidak memihak kami.

"Kami akan bentuk pasukan terbaik untuk Sukma akan datang," katanya.