Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersedia menawarkan pemain profesional beregu wanita, Ng Qi Xuan, menjalani rawatan pemulihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) berikutan kecederaan lutut yang dialaminya dalam Kejohanan Badminton Malaysia Super 100, hujung minggu lalu.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, berkata walaupun pemain berusia 25 tahun itu merupakan pemain profesional, dia tetap seorang pemain Malaysia dan pernah bernaung di bawah badan induk tersebut.

"Ya, kami telah mengadakan perbincangan dalaman tentang cara kami dapat membantunya. Kami sedia membantu jika dia ingin menjalani rawatan pemulihan, tetapi mungkin dia boleh melakukannya di ABM," katanya dalam satu kenyataan.

Kenny turut menjelaskan bahawa BAM masih menunggu pengesahan daripada pihak hospital.

"Saya juga telah berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang juga telah menawarkan bantuan seberapa yang boleh," katanya.

Hannah menambah pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Institut Sukan Negara (ISN) akan menyediakan bantuan dan keperluannya.

“Saya meminta ISN untuk berhubung dengan keluarga Qi Xuan dan menawarkan perkhidmatan yang ada untuk membantu dia,” katanya.

Selepas menjalani ujian pengimejan resonans magnetic (MRI) Qi Xuan disahkan mengalami empat kecederaan serius iaitu anterior cruciate ligament (ACL), posterior cruciate ligament (PCL), medical collateral ligament (MCL) dan lateral collateral ligament (LCL) serta sedikit retakan tulang.

Semalam, dia juga turut meminta bantuan kewangan daripada umum kerana syarikat insurans tidak melindungi kecederaannya yang dianggarkan mencecah RM30,000.