Pemain beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik, enggan berasa panik dengan peluang untuk membuat penampilan dalam saingan Jelajah Dunia Akhir (WTF) Disember depan kerana belum berada pada prestasi terbaik selepas baru pulih daripada kecederaan.

Biarpun masih dalam jangkauan, namun beliau mengakui peluang buatnya bersama Aaron Chia cukup sukar kerana ketika ini mereka berada di kedudukan ke-12 dalam ranking WTF.

“Bagi WTF, kami tidak terlalu meletakkan harapan dan Aaron juga faham mengenai perkara ini. Saya berharap kami boleh layak tetapi kejohanan juga hanya tinggal dua atau tiga.



“Jadi saya tak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri dan cuba mendapatkan rentak terlebih dahulu,” katanya.

WTF yang dijadualkan berlangsung di Hangzhou dari 11 hingga 15 Disember depan hanya membabitkan lapan beregu terbaik dunia.

Bagi meraih tiket WTF, Wooi Yik dan Aaron perlu memastikan mereka sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir dan final pada baki tiga kejohanan terakhir iaitu Masters Korea, Masters Jepun dan Masters China.

Wooi Yik juga mengakui sudah pulih daripada kecederaan dan kembali beraksi, namun prestasinya masih belum berada pada tahap optimum.

“Prestasi kami sekarang masih belum sepenuhnya seperti ketika berada pada Sukan Olimpik 2024 di Paris lalu,” katanya.



Selain perlu beraksi cemerlang pada baki kejohanan terakhir, Wooi Yik-Aaron juga perlu memintas dua lagi beregu negara yang memiliki kedudukan ranking lebih tinggi.

Beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani ketika ini menghuni ranking ketiga, manakala Man Wei Chong-Tee Kai Wun (ketujuh). - Sinar