Ketua jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh, lega apabila pasukannya bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Pakistan 2-2 dalam aksi pertama pusingan roundrobin Trofi Juara-Juara Asia di China hari ini.

Skuad negara ketinggalan selepas Sufyan Khan dan Zikriya Hayat meledak jaringan buat Pakistan, masing-masing pada minit ke-24 dan 32.

Bagaimanapun, The Speedy Tigers bangkit menyamakan kedudukan menerusi penyudah pukulan sudut penalti Faizal Saari (m-37) dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi (m-56).

Sarjit jelas berasa lega dengan kebangkitan itu tetapi menegaskan skuad negara tidak lagi boleh mengulangi kesilapan sama dalam perlawanan berikutnya.

"Walaupun ketinggalan dalam separuh masa pertama, pasukan negara tidak panik dan barisan jurulatih memberi beberapa arahan untuk pemain bangkit daripada ketinggalan.

"Kebangkitan yang baik selepas ketinggalan 0-2, pemain menunjukkan karekter yang baik untuk mengejar pasukan Pakistan.

"Tetapi kami tidak boleh selalu ketinggalan begini kerana bukan mudah untuk melakukan kebangkitan dalam perlawanan peringkat antarabangsa.

"Menjelang perlawanan esok, kami perlu memperbaiki hantaran akhir ke dalam kawasan D lawan.

"Kami tidak melakukannya dengan baik dalam suku pertama dan kedua. Jika kami dapat memperbaiki kelemahan ini dengan cepat, pasti banyak peluang boleh dijelmakan di dalam kawasan D lawan," katanya.

Malaysia seterusnya akan bertemu tuan rumah, China, bagi aksi kedua petang esok.