Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, berkata dia terlalu mencari kesempurnaan pada awal permainan sehingga tewas set pertama sebelum memenangi dua set berikutnya untuk memastikan kemenangan Malaysia ke atas Hong Kong dalam perlawanan pertama Piala Thomas di China sebentar tadi.

Berdepan pemain berpengalaman Hong Kong, Angus Ng Ka Long, Jun Hao tewas set pertama 17-21 tetapi dia kemudian bangkit dengan penuh terpuji untuk memenangi dua set berikutnya 21-12, 21-15.

Mengulas mengenai perlawanan itu, dia berkata kepada wartawan Astro Arena, Syifa Nasir: "Mungkin kerana ini kali pertama saya bertemu dengannya dan saya masih tidak tahu cara permainannya.

"Ia bukanlah tekanan tetapi saya terlalu mencari kesempurnaan pada awal permainan, jadi saya melakukan kesilapan yang tidak perlu.

"Dalam set kedua dan ketiga, saya bermain dengan lebih terbuka."

Malaysia memulakan kempen Piala Thomas 2024 dengan langkah kanan apabila mudah mengatasi Hong Kong 5-0