Seandainya Mesir mampu menundukkan tuan rumah Perancis dalam aksi separuh akhir bagi acara bola sepak, ia sememangnya dalam perjalanan yang lurus untuk menukilkan sejarahnya yang paling hebat.

Mesir sebenarnya telahpun berjaya melakukan keajaiban selepas berjaya mara ke peringkat separuh akhir pada temasya Olimpik untuk tempoh selama 60 tahun dalam penganjuranya.

Malah kalau diikutkan, Mesir sebelum ini belum lagi pernah memenangi sebarang kejohanan utama dalam penglibatanya untuk tempoh 14 tahun terakhir ini.

Kali terakhir pasukan bola sepak mereka menjulang kejuaraan utama adalah pada Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) iaitu pada tahun 2010 yang lalu.

Sejak itu Mesir dilanda kemarau kejuaraan dan Olimpik Paris 2024 seakan mahu memberikan sinar nokhtah ketandusan kejuaraan buat mereka kali ini.

Namun sudah pastinya, pertembungan dengan pasukan tuan rumah Perancis adalah laluan berduri untuk mereka lepasi dalam aksi yang dijadual bakal berlangsung pada 6 Ogos nanti.

Pun begitu harus diingat, Perancis juga sebenarnya hanya bernasib baik selepas hanya mampu mencatat kemenangan tipis 1-0 sahaja ke atas Argentina pada pusingan suku akhir dalam aksi perlawanan yang diselangi dengan insiden pergaduhan.

Ruang luas sebenarnya terbuka bagi kedua-dua pasukan dan Mesir kini dalam moral yang tinggi untuk memahat sejarah mereka sendiri untuk melakukan kejutan dalam aksi itu nanti seterusnya memburu emas.

Mesir setakat ini telahpun merangkul satu pingat iaitu gangsa pada kempen Olimpik Paris 2024 iaitu menerusi acara lawan pedang.