Pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 Aaron Chia / Soh Wooi Yiik menganggap ramai pihak terutamanya rakyat Malaysia yang menjadi penyumbang terbesar kepada kejayaan beregu lelaki negara itu mencipta kejayaan walaupun sekadar gangsa di temasya sukan terbesar dunia itu.

Ketika ditemui media sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, kedua-dua mereka menganggap kejayaan di paris 2024 adalah antara pencapaian dan kejayaan paling indah dikecapi sepanjang penglibatan mereka selaku pemain badminton negara dalam acara beregu.

"Kami sangat bangga dengan apa yang kami lalui dengan kejayaan ini walaupun kami tidak memperolehi pingat emas namun tetap menyumbang pingat untuk negara. Ada banyak pihak yang kami mahu berterima kasih di atas apa yang kami capai ini.

"Keluarga, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Road To Gold (RTG) dan semua penyokong setia yang telah memberikan sokongan padu tidak berbelah bahagi hingga ada yang sanggup datang (Paris)...Mereka sanggup hadir demi kami."Katanya ketika menjawab soalan yang diajukan oleh media.

Bahkan jelasnya lagi, sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia itu mampu meniupkan semangat yang luar biasa kepada mereka untuk melakukan kebangkitan untuk mencipta kemenangan.

Beregu yang kini menduduki ranking ketiga dunia itu kini tidak mempunyai masa yang panjang untuk meraikan kejayaan mereka kerana selepas ini mereka perlu melakukan persiapan untuk menghadapi cabaran di terbuka Jepun yang bakal berlangsung 20 Ogos ini.