Atlet negara terutama yang pertama kali tampil di pentas Sukan Olimpik perlu meletakkan diri sebaris dengan pencabar terbaik dunia lain apabila menyingkap cabaran di Paris 2024.

Bekas Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, ini penting bagi membolehkan mereka sentiasa konsisten dan tidak kekok setiap kali turun beraksi di gelanggang berdepan lawan masing-masing.

Katanya, Olimpik merupakan pentas himpunan atlet terbaik dunia di mana atmosfera pertandingannya tidak sama temasya sukan atau kejuaraan dunia lain.

“Saya yakin bahawa semua atlet yang mendapat peluang beraksi di pentas Olimpik mampu melakukan yang terbaik tidak hanya untuk negara tetapi juga diri mereka.

“Malah, mereka mampu melakukan yang lebih baik lagi di hari pertandingan selepas mengharungi kempen kelayakan yang mencabar sebelum ini.

“Paling penting, atlet Olimpik kita mesti berkeyakinan tinggi,” katanya pada Ahad.

Tambah Ahmad Shapawi lagi, pada peringkat ini semua atlet Paris 2024 negara dalam mood persediaan untuk memulakan pertarungan.

“Di Paris pelbagai cabaran luar dan dalam gelanggang akan diharungi atlet-atlet kita. Dan aspek penjagaan kesihatan juga paling penting kerana ini akan mempengaruhi prestasi semasa atlet.

“Jadi adalah penting bagi memastikan pergerakan setiap hari mereka menjelang hari pertandingan dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Shapawi juga mengingatkan semua atlet negara untuk lebih berhati-hati mengambil ubat-ubatan dan makanan tambahan bagi mengelak terperangkap dalam isu doping.

“Atlet juga perlu peka serta bertanggungjawab terhadap bahan yang terkandung dalam ubat-ubatan dan makanan tambahan, rujuk terlebih dahulu dengan pakar perubatan dilantik MSN,” katanya. -Sinar