Malaysia berjaya memastikan tuan rumah melangkah ke perlawanan penentuan saingan Pestabola Merdeka apabila menewaskan Filipina 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Rangkuman separuh masa pertama menyaksikan Malaysia mempamerkan aksi yang kurang memberangsangkan, gagal mendominasi permainan sementara gagal melunaskan peluang menerusi permainan terbuka mahupun situasi bola mati.

Malaysia terpaksa ketinggalan terlebih dahulu menerusi jaringan yang disempurnakan oleh Jefferson Tabinas pada minit ke-27, hantaran silang pemain itu terkena kaki pertahanan tengah skuad negara, Feroz Baharuddin sekaligus menewaskan penjaga gol, Syihan Hazmi Mohamed.

Jaringan yang dinanti-nantikan akhirnya tiba buat Malaysia apabila Syamer Kutty Abba menyamakan kedudukan pada minit ke-43.

Keputusan kekal 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung dalam separuh masa kedua, Malaysia makin giat mencari gol kedua perlawanan, dan akhirnya berjaya diperoleh apabila Arif Aiman dijatuhkan dalam kotak penalti.

Dan pemain gantian, Safawi Rasid, tampil meletakkan Malaysia di hadapan 2-1 yang juga jaringan ke-22 sepanjang kerjayanya.

Safawi berusaha untuk menggandakan jaringannya namun percubaan dalam masa kecederaan mudah ke dakapan penjaga gol.

Kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan, sekaligus menyaksikan Malaysia ke perlawanan penentuan bertemu Lubnan yang menewaskan juara bertahan, Tajikistan dalam aksi yang berlangsung di sebelah petang.