Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Tan Sri Norza Zakaria, berharap semua pihak terus menaruh kepercayaan kepada barisan pemain badminton negara dalam usaha memperbaiki prestasi dari semasa ke semasa.

Ketika mengulas mengenai persembahan kem kebangsaan di Kejohanan Badminton Asia (BAC), Norza beranggapan masih terlalu awal untuk menilai prestasi pemain memandangkan kelayakan ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 baru sahaja bermula.

Norza turut menggesa semua pemain bangkit membuktikan kemampuan sebenar sebelum tempoh akhir kelayakan ke Olimpik berakhir April 2024.

"Malaysia memiliki barisan pemain di bawah BAM dan profesional namun kami bertindak sebagai satu membawa nama negara ke pentas antarabangsa. Setiap pemain harus menempuhi tempoh ini dalam sesi kelayakan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Norza turut anggap pelantikannya sebagai presiden kehormat badminton Asia sebagai satu penghormatan buat dirinya dan juga BAM.

Norza dipilih berdasarkan persetujuan sebulat suara daripada perwakilan serta barisan kepimpinan Badminton Asia, ketika mesyuarat agung badan induk itu yang berlangsung semalam.

Pelantikan Norza turut menyaksikan beliau muncul individu pertama dari malaysia menyandang jawatan terbabit sekaligus memikul tugas dalam usaha meningkatkan lagi kualiti sukan badminton di rantau Asia.