Minggu ke-10 Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) menyaksikan Pahang Rangers meneruskan dominasi dalam Kumpulan A apabila tampil garang membelasah Angkatan Tentera Malaysia 7-2.

Skuad bimbingan Gerard Casas cemerlang meraih tiga gol pada babak pertama menerusi Sufri Shamil, Akmarulnizam iIdris dan Alif Mat Amin.

ATM menjelmakan kebangkitan pada awal babak kedua apabila merapat kedudukan menerusi dua gol daripada Najmi Rosli.

Namun, kehebatan Pahang Rangers ternyata sukar dibendung apabila kembali melebarkan kedudukan dengan empat lagi gol.

Ia masing-masing dihasilkan oleh Sufri, Ridzwan Bakri, Sergio Jamur dan Mahadir Harahap Khairuddin.

Kemenangan itu sekaligus menyaksikan Pahang Rangers kekal menerajui Kumpuan A dengan 25 mata selepas merekodkan sembilan perlawanan tanpa kalah.

"Sejujurnya, saya masih belum berpuas hati dengan perlawanan ini. Ya kami memperoleh tiga mata, tetapi pasukan lawan turut berusaha menghadirkan permainan yang terbaik dan lebih berkualiti daripada beberapa aspek berbanding kami. Jadi pujian turut diberikan kepada pasukan lawan dalam perlawanan ini," kata Casas.