Hasrat skuad hoki wanita Sabah untuk mempertahankan gelaran Piala Tun Razak terkubur ekoran kekangan dana.

Presiden Persatuan Hoki Sabah, Datuk Seri Anil Jeet Singh, mengesahkan penarikan diri pasukan itu selain mengekalkan penyertaan skuad lelaki dalam 14 pasukan yang bertanding termasuk Singapura.

Untuk rekod, skuad wanita Sabah kali pertama merangkul kejuaraan adalah pada edisi lalu selepas membenam Selangor 2-1.






"Pasukan Sabah kekurangan peruntukan, kerana sedia maklum bahawa pasukan seperti Sabah dan Sarawak ke semenanjung perlukan peruntukan lebih berbanding pasukan di semenanjung.

"Saya rasa Sabah akan mempunyai kesukaran dari aspek dana, sebagai presiden saya mahukan pasukan saya mara ke separuh akhir jadi saya harap mereka dapat lakukan yang terbaik di Johor nanti.

Dalam sidang media kejohanan itu, Anil yang juga merangkap pengarah kejohanan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengumumkan penyertaan 25 pasukan lelaki dan wanita selain tanpa kehadiran skuad hoki remaja kebangsaan.

Ini kerana mereka terpaksa meletakkan fokus sepenuhnya dalam persiapan ke Kejohanan Piala Sultan Johor yang berlangsung pada 18 hingga 26 Oktober serta Piala Remaja Asia pada awal November ini.

"Bagi saya sasaran itu realistik kerana kita pernah jadi juara jadi takkan peringkat separuh akhir tidak lepas, pemain perlu tonjolkan prestasi terbaik.

"Saya harap lebih ramai penonton akan hadir, kerana lokasi sangat strategik dan tidak dikenakan yuran." katanya.