Pemain beregu nombor utama negara, Aaron Chia, meletakkan sasaran awal untuk ke separuh akhir Final Jelajah Dunia BWF 2024 yang bermula Rabu depan.

Namun, dia dan gandingannya, Soh Wooi Yik, mengakui perlu buat perhitungan awal membenam cabaran wakil dari Indonesia dan beregu tuan rumah dalam Kumpulan B dalam kempen di Hangzhou, China itu.

Ini adalah penampilan kelima aaron-wooi yik pada kejohanan itu, sejak edisi 2019.

Jika disingkap kembali momen sebelum menjuarai kejohanan dunia pada 2022, skrip sama berlaku apabila "Chipmunks" acap kali terkandas dalam separuh akhir dan badi itu menjadi misi utama untuk dipecahkan bagi melepasi peringkat kumpulan edisi kali ini.

"Kami mahu fokus untuk melepasi peringkat kumpulan terlebih dahulu, empat penyertaan sebelum ini kami kandas di peringkat ini.

"Kalau kami dapat lepasinya, ia ibarat satu halangan besar yang berjaya dilepasi.





"Kami ada berbincang dengan jurulatih dan kalau lepasinya, mungkin situasi kejayaan menjuarai Kejohanan Dunia terjadi lagi.

"Tapi kami perlu hapuskan badi ini terlebih dahulu. Semua pencabar tampak seimbang, tiada gandingan tidaklah terlalu menonjol berbanding lain.

"Jadi semua peserta ada peluang," katanya yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.