Beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, terus mencipta kejutan apabila melangkah ke final Kejohanan Badminton Asia (BAC) dengan aksi penuh dramatik apabila menumbangkan gandingan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebentar tadi.

Selepas mencipta kemenangan yang menakjubkan ke atas beregu nombor satu dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto semalam, mereka turun bertemu wakil Jepun yang mengatasi satu lagi beregu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana.

Pilihan kelapan kejohanan itu bermula dengan cemerlang, bijak mengawal permainan sebelum merekodkan kemenangan set pertama 21-16.

Set kedua menyaksikan kedua-dua wakil saling mengutip mata demi mata, Hoki-Kobayashi berusaha mengheret permainan ke set penentuan sementara Yew Sin-Ee Yi pula mahu menoktahkan kemenangan.

Selepas perlawanan terikat 20-20, aksi yang lebih mendebarkan dipamerkan sehinggalah dua kesilapan daripada Jepun memastikan kemenangan buat Yew Sin-Ee Yi sekaligus menempah slot ke final.


Mereka bakal berdepan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India atau wakil Taiwan, Wang Chi-lin-Lee Yang esok.

Hasrat untuk menyaksikan wakil negara muncul juara dalam acara beregu campuran buat kali pertama sejak 2010, tidak kesampaian apabila gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai gagal menyaingi kehebatan Zheng Si Wei dan Huang Yaqiong apabila tewas set langsung.

Pantas berlalu set pertama, dengan gandingan dari China yang juga merupakan pilihan utama kejohanan itu memperagakan corak permainan agresif sehingga memaksa gandingan negara melakukan kesilapan.

Paling jelas, Shevon yang seringkali jadi tumpuan kutipan mata gandingan China itu dengan secara purata, gandingan negara ketinggalan ilma mata di sepanjang set pembukaan.

Biarpun ada usaha untuk memerangkap gerakan pantas Si Wei-Yaqhiong, namun ianya bersifat sementara apabila variasi kesilapan melibatkan faktor keserasian menyaksikan Soon Huat-Shevon akur tewas 11-21 dalam tempoh 10 minit.

Skrip sama berulang di set kedua, apabila intensiti tinggi yang diterapkan China tampak seakan gandingan negara mampu untuk memberikan tentangan di awal permainan.

Namun selepas meraih kutipan mata ke-11, China menukar corak serangan yang tertumpu kepada permainan di jaring yang nyata mematikan langkah serta kesefahaman gandingan Malaysia.

Selepas bertarung selama 26 minit, Soon Huat-Shevon akur impian melangkah ke final lebur apabila gandingan utama dari China itu menoktahkan perjuangan mereka dengan kemenangan 21-13.