Beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, menamatkan perjalanan cemerlang mereka di Kejohanan Badminton Asia (BAC) dengan menamatkan saingan sebagai naib juara susulan tewas di final kepada wakil India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dalam saingan yang berlangsung di Dubai, sebentar tadi.

Perjalanan cemerlang gandingan negara itu bermula apabila merekodkan kemenangan menakjubkan ke atas beregu nombor satu dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dan beregu Jepun yang berada di ranking keempat dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dalam perjalanan melangkah ke final.

Set pertama menyaksikan gandingan Malaysia dan India saling menguji kemampuan, corak permainan pantas membenarkan mereka mengutip mata demi mata sehingga kedudukan terikat 11-11 sebelum Rankireddy-Shetty kerap melakukan kesilapan di depan jaringan membenarkan Malaysia menang 21-16.

Skrip berbeza di set kedua, apabila Yew Sin-Ee Yi meneruskan momentum cemerlang dengan menghadirkan permainan yang berkualiti untuk selesa mendahului permainan 11-6.

Ketika perlawanan seakan memihak Yew Sin-Ee Yi, pasangan India berjaya mencari jalan untuk bangkit sebelum memastikan kemenangan 21-17 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Selepas berjaya hampir di keseluruhan permainan, gandingan India itu berjaya mencari jalan memintas Yew Sin-Ee Yi dengan mendahului 18-16 sebelum meleburkan peluang Malaysia dengan memenangi set penentuan 21-19.