Dua wakil beregu Malaysia mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) selepas Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Goh Soon Huat-Shevon Lai masing-masing mengatasi ranjau malam tadi.

Beregu campuran, Soon Huat-Shevon, merupakan pasangan pertama mara ke suku akhir selepas finalis Terbuka Switzerland itu bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan pencabar dari China, Cheng Xing-Chen Fang Hui, 12-21, 22-20, 21-15.

Mereka akan menentang Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia untuk memburu tempat ke separuh akhir.

Dalam masa sama, Ong-Teo juga dikerah untuk bangkit dan kegigihan mereka akhirnya merakamkan kemenangan yang tidak ternilai 10-21, 21-15, 22-20 ke atas beregu Jepun, Ayato Endo-Yuta Takei.

Pilihan kelapan itu akan berhitung dengan Fajar Alfian-Rian Ardianto dari Indonesia dalam satu pertembungan yang pastinya menjanjikan aksi yang menarik.



Sementara itu, cabaran finalis tahun lalu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, berakhir apabila kecuncang 21-14, 16-21, 19-21 kepada juara Olimpik, Lee Yang-Wang Chi-lin .

Keupayaan juara dunia itu wajar dipersoalkan berdasarkan prestasi mereka ketika berdepan beregu dari Taiwan tersebut.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut ditunjukkan jalan keluar oleh Praveen Jordan-Melati Oktavianti selepas gandingan Indonesia itu menggunakan pengalaman mereka dengan baik untuk bangkit 21-23, 21-18, 15- 21.

Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula terpaksa menarik diri ketika menentang Takuro Hoki-Yugo Kobayashi selepas Kai Weun mengalami kecederaan dalam set kedua ketika ketinggalan 3-11.