Jurulatih skuad terjun negara, Datuk Leong Mun Yee, berasakan masih belum ada penerjun pelapis yang mampu menggantikan tempat yang ditinggalkan Wendy Ng sebagai gandingan Nur Dhabitah Sabri dalam waktu terdekat ini.

Ini selepas pemenang tujuh pingat emas Sukan SEA itu mengumumkan persaraannya daripada sukan terjun semalam.

Walaupun terdapat nama yang dicadangkan sebagai pengganti, mereka memerlukan sekurang-kurangnya satu atau dua tahun untuk setanding dengan penerjun senior yang lain.

Selain itu, mereka juga akan memerlukan masa untuk mencari keserasian bersama Nur Dhabitah.

"Pada pandangan saya, Wendy sudah merancang lama bahawa ini adalah tahun terakhirnya dan sudah pasti kami sudah menjangkakannya," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fatin Ruzaiman

"Apabila Wendy bersara, slotnya sudah kosong, jadi ia peluang buat penerjun pelapis tetapi penerjun pelapis kita perlu bekerja keras.

"Sebenarnya ia memerlukan masa yang agak lama untuk mendapatkan standard yang tinggi kerana Wendy juga sudah berlatih selama 20 tahun, jadi saya fikir penerjun pelapis kita masih memerlukan masa," katanya.