Bekas pengendali skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal, berharap semoga dua pemain negara, Faisal Halim dan Akhyar Rashid sembuh dan sihat seperti sedia kala.

Dua pemain negara, Faisal dan Akhyar berdepan situasi yang sukar ketika ini, bermula dengan pemain pinjaman Terengganu, Akhyar disamun Khamis lalu sebelum Faisal Halim disimbah asid pada Ahad.

Perkembangan itu ternyata mengecewakan seluruh rakyat negara, lebih-lebih lagi Faisal yang bertarung dengan nyawa susulan berdepan kesakitan lecur tahap 4 selepas pelaku menyimbah asid sulfurik pekat.

Rajagobal, yang pernah membimbing skuad kebangsaan pada 2009 sehingga 2013, ternyata terkejut dengan apa yang berlaku ketika menimpa dua pemain negara itu.

"Saya mengambil masa yang panjang untuk menghadam apa yang berlaku beberapa hari lalu ke atas dua pemain negara. Saya berdoa agar mereka cepat sembuh dan semoga mereka segera kembali beraksi tidak lama lagi. Semoga cepat cepat sembuh AR dan FH."