Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, menjadikan agenda negara sebagai keutamaan berbanding impian peribadinya untuk mendakap piala pertama selepas enam tahun menerajui pucuk pimpinan badan induk itu.

Dalam temubual eksklusif episod pertama bersama wartawan Zulhelmi Zainal Azam, Hamidin turut berkongsi mengenai perancangan Harimau Malaya menjelang baki dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia bertemu Kyrgyztan dan Chinese Taipei bulan depan.

"Saya percaya bertemu Chinese Taipei Malaysia berpeluang untuk menang, kami perlu cuba mendapatkan peluang menang ke Kyrgyztan ketika bertandang di sana," kata Hamidin.

"Sebab itu setiap permintaan jurulatih Kim Pan-gon bakal dituruti sebagai persiapan pasukan ke sana nanti."

"Kami sedang cuba mendapatkan pasukan kebangsaan Brunei sebagai perlawanan ujian atau mereka akan berdepan salah satu kelab Liga Malaysia."

Ditanyakan status Pan-gon, Hamidin berkata, "Pan-gon masih memiliki kontrak bersama pasukan kebangsaan. Kami mempunyai misi untuk layak ke Arab Saudi.

"Jadi itu menjadi perkara penting buat Malaysia, melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia adalah satu bonus. Kerana ia adalah satu pencapaian baru pasukan kebangsaan."