Skuad Garuda berpeluang untuk memintas kedudukan ranking FIFA Malaysia apabila dijadualkan bertemu Australia, malam ini.

Indonesia akan menjadi tuan rumah bagi aksi kedua kumpulan C pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Australia yang akan berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno.

Indonesia kini berada di kedudukan 132 dunia, naik satu anak tangga dengan memungut +6.88 tambahan mata setelah mengikat gergasi Asia, Arab Saudi 1-1 pada Khamis.

Keputusan ini menyaksikan mereka berada satu tangga di belakang Malaysia yang menduduki tangga 131, setelah memungut +10.06 tambahan mata maksimum menerusi kemenangan 2-1 ke atas Filipina & Lubnan 1-0 dalam aksi Pestabola Merdeka 2024 baru-baru ini.

Dalam aksi menentang Australia, jika Indonesia mencatat keputusan seri, mereka akan memungut tambahan mata sebanyak +8.57, dan sekiranya mereka mencipta kejutan melakar kemenangan, tambahan +21.07 mata akan menjadi milik mereka.

Ini sekaligus memberikan kelebihan buat skuad Shin Tae-yong untuk memintas kedudukan Harimau Malaya dalam kedudukan ranking FIFA terkini dan menjadi pasukan ketiga terbaik Asia Tenggara ketika ini.