MALAYSIA 1 LUBNAN 0

Skuad negara kembali bergelar juara Pestabola Merdeka apabila menewaskan Lubnan 1-0 dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Romel Morales, menjaringkan gol kemenangan Harimau Malaya menjelang separuh masa selepas bijak menghidu hantaran dekat Endrick dos Santos untuk melepaskan penyudah leret ke gawang lawan susulan lontaran jauh yang dilakukan Corbin Ong.

Penguasaan skuad negara berterusan dalam babak kedua tetapi masalah penyudah kekal menjadi belenggu, terutama tiga peluang berturut-turut yang dimiliki pemain gantian, Akhyar Rashid, yang mana tiada satu pun daripadanya menggugat gawang lawan.

Peluang Lubnan untuk bangkit menyamakan kedudukan kian tipis apabila Khalil Khamis dilayangkan kad kuning kedua gara-gara mengasari Arif Aiman Hanapi pada minit ke-79.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia kembali bergelar juara Pestabola Merdeka selepas kali terakhir melakukannya menerusi skuad B-23 negara pada 2013.

Pestabola Merdeka tidak dianjurkan dari 2014 hingga 2022 sebelum skuad senior kebangsaan tewas dalam aksi final kepada Tajikistan tahun lalu.