Mengambil tampuk kepimpinan selaku pengurus sebuah kelab yang sedang menjalani prestasi yoyo yang sering menjadi sasaran kritikan baik kawan mahupun lawan sudah pastinya bukanlah sesuatu yang mudah buat Ruben Amorim.

Bahkan mungkin sebelum bersetuju untuk menandatangani kontrak bersama Manchester United sudah tentunya jurulatih berusia 39 tahun itu sudahpun membuat penelitian dan kajian terperinci mengenai kelab tersohor itu.

Malah mungkin juga dalam masa sama, selain memerhati masalah sebenar yang dialami oleh kelab The Red Devils, Amorim juga sudah memikirkan resipi ampuh yang dapat difikirkan ketika ini untuk merawat segala penyakit yang ada di waktu ini.



Selaku bos keenam yang dilantik selepas pengunduran Sir Alex Ferguson pada 2013, penyokong fanatik kelab itu dan juga pemerhati Liga Perdana Inggeris (EPL) melihat Amorim memberikan fokus dalam menangani beberapa isu yang dikatakan terlampau jelas untuk diatasi segera.

Pertahanan Sayap

Ramai yang melihat Amorim perlu memilih pemain yang tepat untuk mengisi posisi tersebut. Malah, Amorim baru-baru ini memberi bayangan akan menggunakan formasi 3-4-3. Justeru, posisi tersebut perlu diperkuatkan segera agar tidak menambahkan lagi kesukaran yang ada. Juara Piala FA 2023 itu ketika ini memiliki enam pemain senior untuk posisi bek tengah, namun bagi mengisi 'Wing-Back' agak sukar untuk memilih yang terbaik ketika ini.

Posisi yang sesuai untuk Marcus Rashford

Amorim dilihat lebih gemar untuk meletakkan formasi tiga pertahanan tengah berbanding dua. Justeru, beberapa pemain dilihat akan diletakkan selaku penyerang utama termasuk kemungkinan Rasmus Højlund atau Joshua Zirkzee. Tentunya salah satu posisi itu akan menjadi milik Bruno Fernandes.Marcus Rashford mungkin dilihat paling sesuai untuk mengisi kekosongan terakhir itu dengan syarat mampu memiliki kompromi daripada pemain lain.

Kembalikan semula maruah Old Trafford sebagai gelanggang keramat The Red Devils.

Menduduki tangga ke-13 dalam carta liga ketika ini bakal menyaksikan Manchester United tidak akan mampu melakukan banyak perubahan yang membanggakan menjelang akhir musim nanti.

Malah ramai yang menjangkakan pengakhiran Manchester United bagi musim ini paling tinggipun hanyalah pada skala sederhana sahaja. Namun seandainya Amorim mampu menggarapkan semula rentak kemenangan di gelanggang keramat itu dalam beberapa siri perlawanan yang membabitkan pasukan teratas liga, mungkin sedikit sebanyak ia mampu mengembalikan keyakinan penyokong tegar mereka terhadap kebijaksanaan yang dimiliki Amorim untuk mengubah landskap wajah kelab itu ketika ini.