Xavi Simons telah menolak kontrak baru yang ditawarkan Paris Saint-Germain (PSG) sambil mengesahkan dia akan menuju ke PSV hingga 2027.

Simons, yang membuat 11 penampilan senior PSG sejak menandatangani kontrak pada 2019, dilaporkan sedia untuk dipinjamkan bagi tujuan perkembangannya dan mencari peluang minit permainan.

Tetapi selepas menghabiskan karier akademi di Barcelona dan PSG, pemain berbakat berusia 19 tahun itu akan kembali ke Belanda menerusi perpindahan percuma.




Kelab Eredivisie itu mengesahkan Simons berpeluang menyambung kontrak dengan PSG, sebaliknya memilih untuk bekerja di bawah pengurus baru, Ruud van Nistelrooy.

"Dia boleh beraksi di Perancis tetapi pemain antarabangsa remaja itu lebih mengutamakan PSV berbanding juara Perancis yang sempat diwakilinya dalam sembilan perlawanan musim lalu," menurut satu kenyataan kelab itu.

"Kami telah melihat hampir seluruh perlawanan membabitkannya musim ini dan dia muncul sebagai pemain utama," tambah pengarah bola sepak PSV, John de Jong.

“Selain semua perlawanan antarabangsa bersama skuad Oranje, kami juga memantaunya secara langsung dalam Liga Belia di Leipzig, Paris, Bruges, Manchester dan menentang Sevilla.

"Dalam hal ini, dia meyakinkan kami. Xavi mempunyai segala-galanya untuk berkembang menjadi tonggak penting PSV. Dia mahu seiringan dengan kami."